Saturday, April 30, 2011

Surat dari Apak 12.12.79: pelajaran adik-adik


Brothers Mi, Man and yours truly.
The smallest is our uncle, Nasha (circa 1965)
Apak was always monitoring our progress at school. He wouldn't so much nag or pester us into studying or doing our homework. But as this letter shows, he keeps a tab on each and everyone of us, that's for sure.

Sometimes (most of the time, perhaps) he didn't like what he saw in terms of our performance. In one of his letters to me he would write thus: " Berkenaan dengan keputusan ujian anakenda yang telah diadakan sebelum Krismas dulu, ayahenda berasa kurang senang hati dengan keputusan Fiziks anakenda itu".

Hehe, when Syafiq and Anas read that, I'm sure they would say: "Haha, Abah dengan kita sama saja, Fiziks kantoi!!"

                                                                                                                           12.12.79

Anakenda Azizi yang dikasihi dan dirindui.


Surat anakenda yang bertarikh 28hb. November , 1979 telah ayahenda terima pada 8/12. Kemungkinannya surat itu telah sampai di meja ayahenda lebih awal kerana pada 6 dan 7/12 ayahenda ada urusan di Tapah dan tidak datang langsung ke pejabat di T.A.

Ayahenda dan bonda memang tertunggu-tunggu akan surat dari anakenda sejak ayahenda mengirim surat yang lepas pada 13/11, surat yang pertama dialamatkan ke rumah anakenda yang baru. Ayahenda fikirkan surat itu mungkin tidak sampai ke tangan anakenda.

Azmi sudah balik ke rumah sejak 30/11 yang lalu. Katanya dia ragu-ragu sedikit dengan Ilmu Hisab, Kimia dan Fizik dalam peperiksaan MCEnya. Dia juga ragu-ragu tentang B.Mnya kerana katanya tidak cukup masa. Walau bagaimanapun ayahenda berpuas hati dengan usaha yang telah dibuatnya dalam masa dia mengulangkaji pelajarannya. Keputusannya kita berserah dan berdoa ke hadrat Allah SWT.

Keputusan peperiksaan SRP Azman masih belum diketahui sehingga hari ini. Tetapi nampaknya dia mempunyai keyakinan untuk lulus cuma ayahenda masih risau tentang Ilmu Hisabnya.

Keputusan Peperiksaan Penilaian Azizah pula adalah seperti berikut:
B. Malaysia       A
Hisab               B
B.Inggeris        C
Sains               A
I.Alam/Taw.     B

Kawan Azizah, anak Cikgu Yusof di depan rumah kita itu dapat 5A. Seperti biasa, Azizah tidak berapa kisah hal pelajarnnya, asyik main, berbasikal ke sana dan ke mari dan kalau duduk di rumahpun asyik membaca buku-buku cerita sahaja.

Azizul pula akan mula bersekolah pada awal bulan Jun 1980. Basikal kecil Azizah yang rosak dulu telah ayahenda baiki dan Azizul sekarang ini asyik main basikal sahaja pagi dan petang.

Pada 4/12 yang lalu ayahenda telah membeli satu set TV warna 20 inci jenis ECE dengan bayaran ansuran sebanyak $99/= sebulan melalui Syarikat Kerjasama Guru2 Malaysia Barat. TV ini adalah untuk mengganti TV kita yang lama yang sudah tidak kelihatan langsung gambarnya. Adik-adik anakenda bukan main seronok lagi. Bondanya pula bersungut kerana pada masa rancangan yang baik (7.30 – 8.30 malam) dia sibuk memasak di dapur.

Pada 8/12 ayahenda, bonda dan adik-adik semuanya pergi ke Layang2 untuk melihat nyang anakenda yang sekarang ini sangat uzur. Dia sendiri telah berpesan hendak berjumpa dengan ayahenda. Kakinya sudah bengkak-bengkak dan badannya terlalu letih hinggakan tidak boleh mengiring ke kiri atau ke kanan kecuali ditolong oleh orang lain.

Manakala ayahenda duduk dekatnya dia menangis dan mengatakan dia tidak ada harapan untuk hidup lama lagi. Dia berpesan kepada ayahenda supaya jangan meninggalkan sembahyang. Pengingatannya masih baik dan dia selalu bertanya-tanyakan hal anakenda di sini dan ayahenda kata kan semuanya baik. Keadaannya sekarang ini amat menyedihkan.

Pada 10/12 ayahenda ada kerja di Jabatan Pelajaran di Ipoh. Bonda dan adik-adik semuanya ikut sama ke Kepayang. Ninda berdua sihat-sihat saja. Bonda Zauyah dan keluarganya juga sihat-sihat seperti biasa.

Dalam masa cuti sekolah ini adik-adik bersungut mengajak ke Pulau Pinang tetapi ayahenda sibuk sangat dengan urusan pejabat dan belum ada kesempatan hendak mengambil cuti rehat.

Dalam bulan Nov. lalu ayahenda telah menerima $45/= dari SKOMK T.A. untuk ‘bantuan pelajaran’ bagi anakenda. Kemudian pada minggu sudah ayahenda telah menerima sekeping cek bernilai $45/= juga dari GB. SM. Syed Puta, Kangar yaitu baki biasiswa anakenda bagi tahun 1978. Katanya oleh kerana anakenda telah menutup akaun anakenda dengan bank di Kangar wang itu tidak dapat dimasukkan ke dalam bank.

Oleh kerana ayahenda tidak ada wang dalam tangan pada masa ini ayahenda tidak dapat hendak mengirimkan wang itu kepada anakenda sekarang ini. Insya-Allah ayahenda akan kirimkan £20 kepada anakenda pada bulan hadapan.

Sekian buat kali ini. Peluk cium dari ayahenda, bonda dan adik-adik semuanya.

Jangan lewat sangat membalas surat ini kerana ayahenda bonda dan adik-adik senantiasa tertunggu-tunggu berita dari anakenda dan dengan kedatangan surat anakenda itu kurang sedikit rasa rindu kami terhadap anakenda.

                                                                                                                                    Ayahenda

Tambahan:
Kamal Azreen anak Pah Chu di kangar dapat masuk
SM Syed Putra, Kangar tahun 1980. Tulislah surat kpd.
Tok Chu di Kangar.

No comments: