Monday, February 23, 2009

Pantun nasihat


Posting kali ini ditujukan khusus buat anak-anak Abah yang disayangi.

Mula-mula, kita berpantun dahulu.

Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan.

Pantun ini ialah sebuah pantun Melayu klasik. Abah percaya semua anak-anak Abah pernah mendengar dan mengungkapkannya.

Sebagaimana lazimnya pantun-pantun Melayu, ia membawa maksud dan tunjuk ajar yang cukup baik dan indah, dengan cara yang ringkas dan padat.

“Saya budak baru belajar” menggambarkan sifat Melayu kita yang berbudi bahasa dan beradab. Ini adalah sifat yang mulia yang perlu kita berpegang teguh kepadanya.

Namun, pada Abah, apa yang lebih penting di sini adalah ayat keempat iaitu:

“Kalau salah tolong tunjukkan”

Ayat ini membawa maksud yang amat penting sekali.

Ia mengajar kita supaya sentiasa belajar dan mempunyai sifat ingin tahu. Bukan itu sahaja. Malah ia mengajak kita supaya, dalam kita hendak belajar itu, janganlah sesekali takut untuk membuat kesilapan. Jauh sekali berkecil hati sekiranya ditegur.

Buat kata orang putih, “it’s okay to make mistakes”. Ia bukanlah suatu dosa yang tidak boleh dimaafkan.

Apa yang "tidak okay” adalah sekiranya kita tidak belajar dari kesilapan yang lepas. Dan, yang keduanya, jikalau kita tidak berani untuk mengaku kesilapan yang kita lakukan - malah merajuk atau berkecil hati pula bila ditegur.

Kesimpulannya: Janganlah takut untuk membuat kesilapan dalam kita hendak belajar. Sentiasa bersikap optimistik. Sentiasa berfikiran terbuka kepada teguran. Beranikan diri untuk bersoal, dan beranikan diri juga untuk disoal orang lain. Takda hal punya!

Itulah cara terbaik untuk belajar. Sekian dahulu ya.


Nota: Gambar cempedak yang cantik di atas ehsan Pak Teh. Gambar dirakam di halaman rumah Opah di Kampung Kepayang.

2 comments:

Anonymous said...

pergi ke pekan beli pewangi,
beli pewangi untuk anak pak daik,
wahai abah yang kmai semua sayangi,
kami berjanji akan jadi anak yang baik.

insyaAllah. :)

Anonymous said...

pergi ke pekan beli pewangi,
beli pewangi untuk anak pak daik,
wahai abah yang kami semua sayangi,
kami berjanji akan jadi anak yang baik.

insyaAllah. :)

AZMAN AHMAD TERMIZI: 12 Januari 1964 - 30 Julai 2022

  AZMAN AHMAD TERMIZI 12 Januari 1964 - 30 Julai 2022 Dearest Man.You were not only my beloved brother, but you were also my good friend. Th...